Monday, December 22, 2008

REZEKI SI PENGGALI ILMU




MASIH ingat tentang promosi bengkel penulisan dan penyuntingan karya kreatif Kepezi-DBP? Tarikh 13-14 Disember 2008, jumlah peserta yang diperlukan 20 orang. Tempat di Dewan Latihan tingkat 7 DBP. Bayaran RM300 seorang. Seramai 20 peserta sudah menunggu untuk menambah ilmu dalam bengkel tersebut.

Tiba-tiba sekitar dua minggu sebelum tiba masa berbengkel setiap peserta menerima panggilan telefon dari Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP tentang hadir tidaknya dalam bengkel yang dijadualkan. Semua peserta yang tidak sabar mahu menggali ilmu menjawab ‘akan hadir’ biarpun dimestikan membayar dengan mahal. Rezeki penggali ilmu sama dengan rezeki pelombong emas. Ada masanya pulang hampa, ada masanya menemui bongkah emas bergolek.

Inilah yang terjadi. Bengkel penulisan dan penyuntingan karya kreatif bertukar tangan dari Kepezi kepada anjuran BPSK sepenuhnya; menggunakan nama baru: Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Muda. Tarikh berubah pada 12-14 Disember 2008. Tempat di Hotel Dynasty. Peserta dikekalkan 20 orang. Paling menarik: bayaran dimansuhkan.Pertukaran penaja ini dari segi moral Kepezi mungkin kehilangan peluang melonjakkan nama. Namun demi memikir manfaat untuk semua Kepezi tidak kisah sangat tentang nama. Demi keselesaan dan kebaikan peserta yang rela berkorban sebahagian duit perbelanjaan bulanan atau mengosongkan tabung simpanan, Kepezi menerima penganjuran itu dengan hati terbuka malah dengan rasa bangga.

Bagi saya bukan siapa yang menaja/menganjurkannya, tapi paling utama siapa antara peserta yang bakal berjaya.Seperti lazimnya, setiap kali bengkel diadakan akan muncul sebutir dua bintang mengerlap di langit sastera. Begitu juga dalam bengkel kali ini. Arca yang sedang diukir sifu pembimbing bakal lahir insya-Allah dalam waktu terdekat.

Salam Hormat,
Zaharah Nawawi






1 comment:

Anonymous said...

Ternyaya siapa yang hadir semakin bertambah muda; muda minda lagi pantas menjana idea.