Monday, December 22, 2008

REZEKI SI PENGGALI ILMU




MASIH ingat tentang promosi bengkel penulisan dan penyuntingan karya kreatif Kepezi-DBP? Tarikh 13-14 Disember 2008, jumlah peserta yang diperlukan 20 orang. Tempat di Dewan Latihan tingkat 7 DBP. Bayaran RM300 seorang. Seramai 20 peserta sudah menunggu untuk menambah ilmu dalam bengkel tersebut.

Tiba-tiba sekitar dua minggu sebelum tiba masa berbengkel setiap peserta menerima panggilan telefon dari Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP tentang hadir tidaknya dalam bengkel yang dijadualkan. Semua peserta yang tidak sabar mahu menggali ilmu menjawab ‘akan hadir’ biarpun dimestikan membayar dengan mahal. Rezeki penggali ilmu sama dengan rezeki pelombong emas. Ada masanya pulang hampa, ada masanya menemui bongkah emas bergolek.

Inilah yang terjadi. Bengkel penulisan dan penyuntingan karya kreatif bertukar tangan dari Kepezi kepada anjuran BPSK sepenuhnya; menggunakan nama baru: Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Muda. Tarikh berubah pada 12-14 Disember 2008. Tempat di Hotel Dynasty. Peserta dikekalkan 20 orang. Paling menarik: bayaran dimansuhkan.Pertukaran penaja ini dari segi moral Kepezi mungkin kehilangan peluang melonjakkan nama. Namun demi memikir manfaat untuk semua Kepezi tidak kisah sangat tentang nama. Demi keselesaan dan kebaikan peserta yang rela berkorban sebahagian duit perbelanjaan bulanan atau mengosongkan tabung simpanan, Kepezi menerima penganjuran itu dengan hati terbuka malah dengan rasa bangga.

Bagi saya bukan siapa yang menaja/menganjurkannya, tapi paling utama siapa antara peserta yang bakal berjaya.Seperti lazimnya, setiap kali bengkel diadakan akan muncul sebutir dua bintang mengerlap di langit sastera. Begitu juga dalam bengkel kali ini. Arca yang sedang diukir sifu pembimbing bakal lahir insya-Allah dalam waktu terdekat.

Salam Hormat,
Zaharah Nawawi






Monday, December 1, 2008

PN. ZAHARAH NAWAWI - DI KOTA BHARU


Pada 27-29 November 2008 yang lalu, pengasas KEPEZI, Puan Zaharah Nawawi telah membimbing bengkel penulisan kreatif (cerpen) di Hotel Renaisance, Kota Bharu. Bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Penulis Kelantan disertai oleh 24 orang peserta pelbagai peringkat umur.

Kebanyakkan peserta merupakan individu yang sudah memiliki pengalaman dalam bidang penulisan kreatif. Namun begitu, bengkel ini juga turut menarik minat peserta yang belum pernah mendapat pendedahan dalam bidang penulisan.

Disisipkan gambar semasa penutupan bengkel. Jutaan terima kasih buat penganjur, dan disoakan agar peserta terus memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada pembimbing dalam memperkayakan sastera dan dokumentasi bangsa.